Graduan STEM Jadi Rebutan, Sarawak Perhebat Laluan Kerjaya Masa Depan
KUCHING: Penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus diperkukuh sebagai strategi utama Sarawak dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjaya masa depan kepada anak tempatan.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, permintaan terhadap tenaga mahir dalam bidang berkenaan semakin meningkat selari dengan pembangunan pesat serta penggunaan teknologi baharu di negeri ini.
Menurut beliau, bagi memastikan graduan tempatan kekal relevan dengan kehendak industri, Kerajaan Sarawak telah merangka Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang menawarkan 64 program pengajian berteraskan STEM.
“Memanglah kursus ini mungkin susah sebab itu kita galakkan anak-anak mengambil subjek-subjek yang ada hubung kait dengan STEM kerana ekonomi kita sampai 2037 semuanya berkisar kepada kursus-kursus yang pada hemat kita susah, tapi kita cuba galakkan anak-anak kita dalam jurusan tersebut sebab kerja menunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis penutupan Konvensyen GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pendekatan tersebut penting dalam menangani isu ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan, khususnya apabila terdapat kecenderungan memilih bidang yang kurang permintaan di pasaran kerja.
Dalam masa sama, Sarawak turut berdepan kekurangan tenaga pakar dalam bidang kritikal seperti juruukur, kejuruteraan dan teknologi maklumat, sekali gus memperkukuh keperluan memperluas penyertaan dalam bidang STEM.
Sehubungan itu, beliau menegaskan peralihan kepada ekonomi baharu menuntut kepakaran dan kemahiran baharu agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan mampan.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri John Sikie Tayai serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS