Premier Sarawak Curi Tumpuan Naiki Skuter Elektrik, Santai Warnai Majlis Makan Malam GPS
KUCHING: Suasana Majlis Makan Malam Sempena Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) 2026 malam Ahad bertukar santai dan ceria apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mencuri perhatian dengan aksi bersahaja menunggang skuter elektrik.
Meskipun seharian menghadiri dan mengikuti perjalanan konvensyen, beliau tetap meluangkan masa berinteraksi secara santai bersama tetamu, sekali gus mencerminkan keperibadian mesra dan dekat dengan rakyat.
Beliau dilihat menunggang skuter elektrik tersebut mengelilingi meja tetamu kehormat, sambil disaksikan dif kenamaan lain yang turut terhibur dengan gelagat spontan berkenaan.
Terdahulu, beliau tertarik dengan skuter elektrik yang digunakan oleh kakitangan penganjur konvensyen, yang juga merupakan hadiah utama cabutan bertuah majlis berkenaan.
Didorong rasa ingin tahu, beliau bangun dari tempat duduk untuk melihat dengan lebih dekat sebelum mencuba sendiri skuter tersebut dalam suasana penuh santai.
Selepas itu, beliau kembali menikmati juadah makan malam sebelum beredar meninggalkan majlis bersama dif kenamaan lain.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri John Sikie Tayai, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery