Tapis Maklumat Media Sosial, Elak Kesan Negatif Terhadap Perpaduan
SIBU: Masyarakat diingatkan agar lebih berwaspada dalam menilai setiap maklumat, khususnya yang diperoleh melalui media sosial, bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam komuniti.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, penyebaran maklumat tidak tepat di platform seperti Facebook dan TikTok berpotensi memberi kesan negatif terhadap perpaduan masyarakat sekiranya tidak ditangani secara bijaksana.
“Dalam dunia media moden hari ini, maklumat bergerak pantas. Jika kita tidak menapisnya, ia boleh memecah-belahkan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program Solidariti Komuniti Peringkat Bahagian Sibu 2026 di Rumah Dick, Batu 8, Jalan Oya Lama, pada Sabtu.
Menurut Abang Mohamad Porkan, penganjuran program seumpama itu penting sebagai medium bagi kerajaan menyampaikan maklumat tepat, selain mendengar sendiri permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.
Mengulas pembangunan negeri, beliau berkata Sarawak kini berada di landasan kukuh dengan pelbagai kemajuan dalam sektor infrastruktur dan ekonomi hasil kestabilan kerajaan serta sokongan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan negeri serta mengekalkan keharmonian sosial.-EDISI UKAS