MIRI: Program Fun Walk sempena Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri pada 26 April ini menjadi pemangkin dalam memperkukuh perpaduan masyarakat melalui penghayatan kepelbagaian budaya.
Acara santai sejauh 3 kilometer (km) di Stadium Miri itu merupakan antara tarikan utama program SKS yang berlangsung dari 24 hingga 26 April depan dengan sasaran kehadiran sekitar 20,000 orang pengunjung dari Miri dan kawasan sekitarnya termasuk Baram, Sibuti, Bintulu serta Brunei.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Program SKS 2026 Bahagian Miri merangkap Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata, pendekatan penganjuran yang menekankan elemen budaya dilihat mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum dalam suasana santai dan inklusif.
Beliau memaklumkan peserta digalakkan menggayakan pakaian tradisional suku kaum masing-masing selaras dengan tema ‘Meraikan Kepelbagaian Budaya’, sekali gus menonjolkan identiti serta keunikan warisan negeri.
Menurutnya, kesinambungan penganjuran program SKS yang kini berada di Miri selepas Limbang turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mendekati rakyat serta memupuk semangat kekitaan.
Pendaftaran Fun Walk dibuka secara percuma melalui imbasan kod QR, dengan peserta dijangka mula berkumpul seawal jam 6.30 pagi sebelum acara pelepasan pada jam 7.30 pagi.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat, penganjuran ini turut diperkasakan dengan elemen interaktif seperti cabutan bertuah serta kemudahan jualan makanan dan minuman menerusi Khemah Miri Kitchen.
Program ini dijangka menjadi manifestasi jelas perpaduan masyarakat Sarawak yang terus diperkukuh melalui pendekatan inklusif berteraskan budaya.-EDISI UKAS