Hasil Pendapatan Sarawak 2025 Diunjur RM12.1 Bilion
KUCHING: Hasil pendapatan Sarawak bagi tahun 2025 diunjurkan mencecah RM12.1 bilion dengan kutipan hasil telah mencapai RM10.3 bilion setakat Oktober 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata, unjuran ini mencatat penurunan sebanyak RM2.1 bilion atau 15 peratus daripada anggaran asal Sarawak sebanyak RM14.2 bilion pada tahun ini.
“Faktor utama yang menyumbang kepada kekurangan ini ialah penurunan berterusan harga minyak mentah global, yang kekal pada purata USD69 sesebuah tong sepanjang tahun,” dedah beliau.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Walaupun unjuran hasil disemak semula, Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak itu menegaskan bahawa prestasi kewangan negeri masih kukuh disokong oleh pelbagai sumber hasil utama.
Jelas beliau, Cukai Jualan Negeri (CJN) kekal sebagai penyumbang utama dengan kutipan berjumlah RM3.9 bilion yang merangkumi produk petroleum sebanyak RM2.9 bilion, minyak sawit mentah dan isirung sawit sebanyak RM801 juta, aluminium sebanyak RM64 juta, loteri sebanyak RM59 juta, produk kayu sebanyak RM21 juta, ferro-aloi sebanyak RM20 juta dan polisilikon sebanyak RM9 juta.
Selain itu jelasnya, Sarawak turut menerima RM2.2 bilion daripada pampasan tunai bagi menggantikan hak minyak dan gas, RM1.1 bilion dividen, RM640 juta pulangan faedah dan pelaburan, serta RM562 juta royalti air mentah.
"Sumber hasil lain termasuk RM232 juta premium tanah, RM209 juta hasil perhutanan, RM120 juta pampasan tunai bagi menggantikan duti import dan eksais produk petroleum, RM744 juta geran dan bayaran balik Persekutuan serta RM593 juta daripada sumber lain seperti royalti perlombongan, jualan air dan sewaan tanah," jelasnya.
Sementara itu, Premier Sarawak memberitahu, untuk tahun 2026, Sarawak menjangkakan hasil negeri sebanyak RM13.1 bilion, sedikit berkurangan berbanding unjuran 2025 disebabkan ketidakstabilan pasaran komoditi antarabangsa dan tekanan ekonomi luar.
“Daripada jumlah berkenaan, RM5.8 bilion atau 44 peratus dijangka diperoleh melalui hasil cukai, termasuk cukai jualan negeri, royalti air, royalti hutan dan premium kayu, serta royalti perlombongan.
“Sementara itu, hasil bukan cukai diunjurkan sebanyak RM6.3 bilion, terutamanya daripada pampasan hak minyak dan gas, dividen, faedah pelaburan, dan premium tanah. Penerimaan bukan hasil dianggarkan sebanyak RM29 juta, manakala geran dan bayaran balik daripada Persekutuan dijangka berjumlah RM899 juta,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS