RM60 Juta Diperuntukkan Bagi BKK Pelajar IPT Sarawak Pada 2026
KUCHING: Sebanyak RM60 juta diperuntukkan dalam cadangan Belanjawan Sarawak 2026 bagi meneruskan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) kepada pelajar Sarawak yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara pada tahun depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bantuan itu bertujuan menyokong kebajikan pelajar serta meringankan perbelanjaan asas mereka sepanjang pengajian.
“Dalam usaha kami untuk menggalakkan ekuiti pendidikan dan menyokong kesejahteraan pelajar, kami akan terus menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar Sarawak yang mendaftar dalam program Diploma dan Ijazah di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di seluruh Malaysia.
“Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak RM60 juta akan disediakan tahun depan untuk membantu menampung perbelanjaan sara hidup penting seperti makanan dan keperluan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Program Laptop Percuma turut diteruskan dengan peruntukan RM30.5 juta, bagi membekalkan komputer riba kepada pelajar tahun pertama Diploma dan Ijazah bagi menyokong pembelajaran digital serta penyediaan tugasan akademik.
Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak akan menyalurkan RM2 juta bagi Program Baucar Buku yang membolehkan pelajar memperoleh buku rujukan dan bahan akademik yang diperlukan.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga akan meneruskan Inisiatif i-GPS tahun hadapan dengan menyediakan RM8 juta lagi bagi meneruskan bantuan tersebut yang menyediakan subsidi tambang penerbangan sehingga RM300 bagi setiap perjalanan pulang ke Sarawak, dua kali setahun,lbuntuk pelajar yang belajar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.
Dalam perkembangan lain, beliau juga menberitahu, Kerajaan Sarawak akan mengekalkan diskaun bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam Sarawak yang telah menunjukkan disiplin kewangan dengan menyelesaikan lebih daripada 30 peratus jumlah pinjaman dengan memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi tahun 2026.-EDISI UKAS