Aidiladha Perkukuh Perpaduan dan Keharmonian Rakyat Sarawak
MIRI: Sambutan Hari Raya Aidiladha terus menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Aidiladha membawa pengertian mendalam mengenai nilai pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang yang menjadi asas penting dalam membina masyarakat yang bersatu padu.
“Perbezaan bukanlah penghalang untuk kita hidup bersama, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat demi mencapai kemajuan dan kesejahteraan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ibadah Qurban dan Aqikah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2026 yang berlangsung di Masjid Ar’Rayyan, Permyjaya, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, rakyat Sarawak selama ini telah menjadi contoh terbaik dalam memelihara keharmonian, saling menghormati serta hidup dalam suasana aman dan bersatu padu.
Tambahnya, semangat toleransi dan persefahaman antara penganut pelbagai agama perlu terus dipelihara agar keamanan dan kestabilan negeri dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Selain itu, beliau turut menyentuh peranan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai bukti komitmen dalam memastikan keharmonian antara agama terus terpelihara.
Program anjuran Masjid Ar’Rayyan itu menyaksikan sebanyak tujuh ekor kerbau dikorbankan dengan agihan daging kepada kira-kira 380 penerima.
Beliau berharap Sarawak akan terus maju dan makmur serta mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat khususnya golongan muda pada masa hadapan. -EDISI UKAS