Sumbangan Pelbagai Pihak Jayakan Ibadah Korban Di Sibuti
MIRI: Lebih 30 masjid, surau dan kampung di kawasan Parlimen Sibuti melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, program korban yang diadakan melibatkan sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), badan korporat serta individu.
Menurut beliau, sebanyak lapan masjid di kawasan Parlimen Sibuti menerima agihan sapi korban antaranya Masjid Al-Jabaniah, Masjid Al-Muttaqin Bekenu dan Darul Khairat di Bakam selain beberapa agensi termasuk Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
“Pengagihan daging korban diharap dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur terutama kepada golongan asnaf serta mereka yang memerlukan.
“Sambutan Aidiladha bukan sahaja menghidupkan syiar Islam, malah mampu mengeratkan silaturahim dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Firdaus, Taman Tunku, di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Datuk Lukanisman memaklumkan pihak jawatankuasa Masjid Al-Firdaus Taman Tunku melaksanakan penyembelihan tujuh ekor sapi korban hasil sumbangan pelbagai pihak. -EDISI UKAS