Usaha Tangani Masalah Bekalan Elektrik &Air Di Limbang Giat Diusahakan
LIMBANG: Usaha menangani masalah gangguan bekalan elektrik dan tekanan air rendah di daerah ini sedang giat diusahakan oleh pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sarawak Water melalui langkah segera serta perancangan jangka panjang bagi memastikan kestabilan utiliti asas kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pelbagai usaha telah dijalankan bersama agensi utiliti bagi mengatasi gangguan bekalan yang berlaku di daerah ini.
“Permasalahan bekalan elektrik dan air di Limbang sedang ditangani secara menyeluruh melalui langkah segera serta perancangan jangka panjang bagi memastikan kestabilan bekalan kepada orang ramai,” katanya semasa Sidang Media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama SEB dan Sarawak Water di Pejabat Residen Bahagian Limbang pada Selasa.
Jelasnya, antara isu utama yang dikenal pasti ialah kerosakan mekanikal satu unit genset utama termasuk masalah kontaminasi minyak genset kecil.
Menurutnya, keadaan itu telah menjejaskan kapasiti penjanaan elektrik di daerah ini sehingga menyebabkan pelaksanaan catuan bekalan, namun tindakan segera telah diambil termasuk menyewa mobile genset dari luar serta menambah tiga unit genset lagi dari Johor bagi menstabilkan semula bekalan.
Tambah beliau, kapasiti penjanaan elektrik yang sebelum ini sekitar 21 megawatt, dijangka meningkat kepada 23 megawatt selepas penambahan genset tersebut, sekali gus memberikan lebihan bekalan yang lebih stabil bagi purata penggunaan 19 megawatt di Limbang.
Dalam pada itu, penyambungan grid djadualkan siap pada Julai ini dan akan menjadi penyelesaian jangka panjang bagi isu bekalan elektrik di daerah ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak Sarawak Water turut merancang penambahbaikan sistem bekalan air termasuk menaik taraf paip, meningkatkan kapasiti tangki serta pembinaan reservoir baharu di kawasan seperti Berawan dan Bambangan.
Katanya, penggunaan mobile plant turut dicadangkan sebagai langkah segera bagi meningkatkan tekanan air di kawasan terjejas seperti Batu Danau, Tedungan dan persisir-pesisir sungai.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise, wakil Pegawai Daerah Limbang Danny David, Pengurus Stesen Janakuasa SEB Miri Sameul Kah Tung Tang dan Pengurus Sarawak Water Kawasan Limbang Muries Lukong serta Ketua-Ketua Masyarakat Daerah Limbang.- EDISI UKAS