Budaya Wakaf Di Sarawak Masih Utuh, Petanda Positif Kepada Kelangsungan Institusi Keagamaan
KUCHING: Budaya wakaf di negeri ini masih lagi utuh sekaligus mencerminkan petanda yang positif kepada kelangsungan institusi keagamaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pembinaan Surau Wakaf Kampung Taman Indah adalah hasil sumbangan penduduk dan penderma, sekali gus melambangkan kekuatan budaya wakaf dalam kalangan masyarakat Islam di kawasan berkenaan.
“Ini satu contoh semangat dan jiwa masyarakat yang amat baik, bukan sahaja dalam pembinaan rumah ibadat tetapi juga dalam pelaksanaan ibadah korban yang melibatkan penyertaan ramai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Aidiladha Surau Wakaf Kampung Taman Indah, di sini, pada Rabu.
Difahamkan, sebanyak 35 ekor lembu berjaya disembelih di surau berkenaan sekaligus menjadi antara jumlah terbanyak pernah dijalankan di peringkat surau.
Menyentuh perkara berkaitan, Datuk Abdullah menegaskan keunikan sambutan Aidiladha di Sarawak yang turut melibatkan penyertaan masyarakat bukan Islam, termasuk membantu dalam aktiviti gotong-royong.
“Ini menunjukkan semangat toleransi dan perpaduan antara agama yang sangat kukuh, dan wajar diteruskan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata program korban bukan sahaja mempunyai nilai keagamaan, malah berperanan sebagai medium kebajikan, khususnya dalam membantu golongan asnaf dan mereka yang terkesan dengan tekanan ekonomi semasa.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar inisiatif pengumpulan sumbangan melalui masjid dan surau diperluaskan sepanjang tahun bagi menyediakan bantuan keperluan asas seperti beras dan barangan dapur kepada golongan memerlukan.
“Semangat menderma ini tidak seharusnya terhad kepada Aidiladha sahaja, tetapi boleh dijadikan amalan berkala demi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Program tersebut turut menyaksikan pengagihan daging korban kepada golongan asnaf serta penduduk setempat, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara komuniti dan pemimpin.-EDISI UKAS