Sarawak Perkukuh Status ‘Gateway to Borneo’, Sasar Jadi 'Gergasi' Ekopelancongan
KUCHING: Sarawak terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai ‘Gateway to Borneo’ dengan mengorak langkah agresif ke arah muncul sebagai ‘gergasi’ baharu dalam sektor ekopelancongan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata Sarawak akan terus menjanjikan pengalaman ikonik yang mencerminkan identiti wilayah ini, seterusnya memposisikan Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi para pelancong dalam dan luar negara.
Untuk mencapai usaha ini, beliau menjelaskan Sarawak telah membelanjakan sebanyak RM129 juta bagi pembangunan dan pemodenan infrastruktur pelancongan.
“Peruntukan ini digunakan untuk mentransformasikan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lama menjadi Pusat Seni Persembahan, pembangunan semula Kolam Renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sebagai Taman Air dan hab Gastronomi Bandar Kreatif UNESCO, projek Pelancongan Bakau Sadong Jaya serta pembangunan muzium,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19, di sini, pada Isnin.
Untuk memperkukuh kehadiran Sarawak di pasaran utama serta menarik pelancong berimpak tinggi, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan kerajaan akan memperuntukkan RM194 juta kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) bagi tujuan operasi serta pelaksanaan program pemasaran dan promosi pelancongan yang bersasar.
“Peruntukan ini merangkumi RM45 juta untuk penganjuran acara dan festival yang menonjolkan keunikan budaya Sarawak, RM106 juta geran kepada Sarawak Tourism Board (STB), Business Events Sarawak, Majlis Seni Sarawak (MSS) dan Majlis Kraf Sarawak, RM10 juta bagi penajaan program budaya dan warisan, RM5 juta untuk geran penyelidikan, serta RM1 juta bagi geran lain berkaitan pelancongan,” jelas beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak itu menjelaskan sebanyak RM24 juta diperuntukkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi projek strategik seperti pengurusan Taman Negara Gunung Mulu, pembangunan semula pintu masuk Taman Negara Bako, pembinaan Nature Discovery Centre di Piasau Nature Reserve serta sistem latihan dan pengurusan pemandu taman.
Usaha ini katanya membuktikan komitmen Sarawak untuk memelihara dan mempromosi tapak ikonik seperti Gunung Mulu dan Niah yang diiktiraf UNESCO.
Selain itu katanya, pelancaran AirBorneo akan menjadi pemangkin baharu dan penting untuk meningkatkan kesalinghubungan dan mengukuhkan imej Sarawak sebagai pintu masuk utama ke Borneo di pentas ASEAN dan antarabangsa. -EDISI UKAS