Pelantikan Ahli Tambahan MMKN Perkasa Mekanisme Semak & Imbang
KUCHING: Pindaan bagi memperluas keanggotaan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) disifatkan sebagai langkah penting untuk memastikan representasi wilayah yang lebih seimbang serta memperkukuh tadbir urus negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, pelantikan ahli MMKN yang kekal dibuat daripada kalangan wakil rakyat memastikan unsur kebertanggungjawaban kepada rakyat terus terpelihara, selain mengekalkan prinsip kerajaan bertanggungjawab.
Menurutnya, penambahan bilangan ahli tidak menjejaskan ketelusan kerajaan, malah memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.
“Dengan representasi lebih luas dalam MMKN, lebih banyak suara dan realiti setempat dapat dibawa ke peringkat pembuat dasar, sekali gus memastikan keputusan kerajaan lebih inklusif dan mencerminkan keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Kennedy Chukpai menegaskan bahawa pindaan tersebut merupakan evolusi yang bersesuaian dengan keperluan semasa untuk memperkukuh jentera pentadbiran negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini