Peruntukan RM63.94 Juta Perkasakan Usahawan Muda Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM63.94 juta khusus bagi pembangunan usahawan dan perusahaan kecil sederhana (MSME) untuk tahun 2026.
Peruntukan berkenaan bertujuan memperkasakan usahawan muda, meningkatkan penglibatan belia dalam keusahawanan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, peruntukan tersebut diagihkan melalui pelbagai inisiatif untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan perusahaan kecil sederhana, menyediakan latihan serta kemahiran baharu kepada usahawan muda dan menganjurkan program keusahawanan.
“Peruntukan yang ditambah ialah peruntukan utama untuk membantu MSME iaitu RM31 juta untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan perusahaan kecil sederhana.
“Selain itu, RM20 juta diperuntukkan untuk upskilling dan latihan, manakala RM9.6 juta lagi untuk penganjuran program usahawan.
“Jumlah keseluruhannya ialah RM60.6 juta di bawah Kementerian MINTRED, dan jika dijumlahkan dengan lain-lain ia berjumlah RM63.94 juta khas untuk usahawan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Sarawak (UKAS) semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan belia dalam keusahawanan bukan sahaja akan melahirkan pencipta pekerjaan malah meningkatkan pendapatan isi rumah serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Harapan kita ialah kita dapat melahirkan lebih ramai “job creator.” Mereka inilah yang memberikan peluang pekerjaan kepada orang lain, bukannya sekadar menjadi pencari kerja.”
“Sudah pasti, apabila ramai usahawan, terutamanya di peringkat muda, yang kita sokong, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan, dan secara tidak langsung, pendapatan isi rumah juga akan meningkat,” tambah beliau.
Justeru itu, kerajaan berharap lebih ramai belia tampil sebagai usahawan, khususnya dalam bidang teknologi atau “technopreneur”, yang mampu mengadaptasi teknologi digital dan ekonomi baharu.
Walaupun Sarawak kini berstatus berpendapatan tinggi, usaha meningkatkan pendapatan isi rumah tetap menjadi fokus utama kerajaan.
Datuk Dr Ripin menegaskan bahawa semua program keusahawanan yang dirancang selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah masyarakat Sarawak, seterusnya mempercepatkan pencapaian sasaran PCDS 2030.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Mohammad Naseem