Pembangunan Pesat Tuntut Kabinet Sarawak Diperkasa
KUCHING: Struktur pentadbiran dan Kabinet Sarawak perlu diperkukuh bagi memastikan pembangunan negeri yang pesat serta pertumbuhan ekonomi yang semakin rancak dapat diurus dengan lebih terancang, efisien dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pindaan tersebut amat penting bagi memastikan jentera eksekutif negeri bergerak seiring tuntutan pembangunan semasa, khususnya selepas pertambahan kerusi DUN daripada 82 kepada 99 DUN.
“Sarawak hari ini sedang berkembang dengan begitu pesat.
"Ekonomi kita semakin pelbagai, termasuk tenaga baharu, hidrogen, digital ekonomi dan industri bernilai tinggi.
"Justeru, jentera pentadbiran sedia ada perlu diperkasakan agar tidak ketinggalan,” ujar beliau ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa ketika ini ramai Menteri memegang sehingga tiga portfolio, sedangkan skop pembangunan semakin meluas terutama dalam penyediaan infrastruktur, utiliti, kesihatan, pendidikan dan pengukuhan hak-hak negeri di bawah MA63.
Katanya, keadaan ini menuntut struktur kabinet yang lebih besar, lebih tersusun dan mempunyai kementerian yang lebih khusus bagi membolehkan setiap portfolio ditumpukan dengan lebih mendalam.
“Pindaan ini bukan satu pilihan politik, tetapi satu keperluan pentadbiran.
"Kita mahu sebuah kabinet yang lebih fokus, lebih cekap dan mampu menyampaikan pembangunan kepada rakyat di seluruh pelosok Sarawak,” jelasnya.-EDISI UKAS