Kepelbagaian Budaya Disemarak, Tradisi Tarian Singa Terus Diperkasa
SARIKEI: Keindahan kepelbagaian budaya masyarakat majmuk di Sarawak sekali lagi terserlah melalui Pertandingan Singa Selatan Tradisional Sarikei 2025 yang berlangsung meriah di Gelanggang Bola Keranjang di sini, pada Ahad.
Acara berprestij itu menjadi platform penting dalam usaha memelihara dan mewariskan seni tradisi kepada generasi muda sekaligus mengetengahkan tarian singa sebagai warisan budaya masyarakat Tiong Hua yang memiliki nilai sejarah tinggi.
Selain menjadi hiburan perayaan, tarian singa mengandungi unsur nasihat, doa serta harapan yang diwarisi daripada nenekmoyang.
Setiap gerakannya yang bertenaga melambangkan usaha menolak unsur negatif, membawa keberkatan serta mencerminkan semangat juang dan perpaduan komuniti.
Bagi kategori Singa Selatan, kekuatan fizikal, ketepatan imbangan dan kehalusan teknik menjadi elemen utama.
Variasi rutin serta kepantasan aksi turut memukau penonton, sekali gus memperlihatkan kemahiran tinggi peserta yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.
Menariknya, pertandingan tahun ini turut menggabungkan nilai belas kasihan dalam ajaran Buddha dengan keberanian dan keindahan seni tarian singa, menjadikan persembahan bukan sekadar demonstrasi fizikal tetapi lambang penyatuan budaya.
Majlis penangguhannya disempurnakan wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Pemanca Chan Pan Chan. -EDISI UKAS