UNIMAS Terima Biasiswa Duta China RM40,000, Perkukuh Jalinan Akademik Sarawak–China
KUCHING: Hubungan akademik Sarawak–China terus diperkukuh apabila Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima Biasiswa Duta China bernilai RM40,000 dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di The Gallery DeTAR Putra, UNIMAS, pada Isnin.
Biasiswa tersebut disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Berkuasa Penuh Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing,, sebagai komitmen berterusan China dalam menyokong pembangunan pendidikan tinggi serta peluang pertukaran pelajar antara kedua-dua negara.
Penyerahan ini dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar UNIMAS dalam memperluas pengalaman akademik ke peringkat antarabangsa, khususnya di universiti-universiti terkemuka China.
Dalam ucapan aluan, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, menegaskan kesan besar kerjasama UNIMAS dengan institusi pendidikan di China sepanjang dekad lalu.
“Kerjasama kita dengan China bukan sahaja menyumbang kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah membawa misi memperkukuh kefahaman, kerjasama dan keamanan antara negara.
"Dalam dunia yang berdepan cabaran global yang kompleks, pendidikan dan pertukaran ilmu adalah asas penting kepada keharmonian serta kemajuan bersama,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada program lawatan, Ouyang Yujing turut menyampaikan syarahan khas bertajuk 'A Community with a Shared Future: A Path Toward Common Progress' yang menekankan kepentingan perpaduan global, pembangunan bersama dan keperluan memperkukuh kerjasama strategik Malaysia dan China.
Jaringan ini meletakkan UNIMAS sebagai rakan strategik dipercayai dalam sektor pendidikan tinggi China, selain memberi impak berterusan kepada kedua-dua negara melalui perkongsian pengetahuan, projek bersama dan diplomasi budaya.
Kini, UNIMAS mempunyai lebih 30 kolaborasi aktif dengan universiti terkemuka China termasuk penubuhan Pusat Pembelajaran UNIMAS di Xi’an dan Qilu yang berfungsi sebagai hab strategik penyelidikan dan jaringan akademik.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan upacara penanaman pokok di kampus UNIMAS, sebagai simbol pertumbuhan, kesinambungan dan komitmen jangka panjang antara universiti dan Republik Rakyat China.
Hadir sama isteri kepada Duta Besar China Song Xiaomei, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Weiping, Menteri Kaunselor Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia Ma Cuihong, Menteri Kaunselor Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia Lin Shiguang serta Kaunselor Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia Zhao Changtao. -EDISI UKAS