Pindaan Perlembagaan 2025: Sarawak Perluas Kapasiti Kabinet Selepas 30 Tahun
KUCHING: Selepas tiga dekad tanpa sebarang perubahan, Sarawak akhirnya melaksanakan penyusunan semula Kabinetnya apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan pindaan Perlembagaan Sarawak bagi meningkatkan had jumlah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) daripada 10 kepada 14 orang, tidak termasuk Premier Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menjelaskan bahawa kali terakhir Sarawak menyemak komposisi Kabinet ialah pada tahun 1995, menjadikan pindaan kali ini satu langkah besar yang tepat pada masanya selaras dengan perubahan pesat pembangunan negeri.
“Kalau kita lihat, kali terakhir pindaan dibuat pada 1995. Sekarang sudah 30 tahun. Ini menunjukkan bahawa perubahan kali ini bukan tergesa-gesa, tetapi datang kerana keperluan semasa yang semakin besar,” katanya dalam sidang media selepas kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2025 di Bangunan DUN Sarawak pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa landskap pentadbiran dan ekonomi Sarawak kini jauh berbeza berbanding tiga dekad lalu, khususnya dengan kemunculan sektor baharu seperti tenaga hijau, hidrogen, ekonomi digital, karbon dan metanol, sektor yang memerlukan perhatian dasar lebih mendalam serta kementerian yang lebih tersusun dan fokus.
Pada masa sama, pertambahan kerusi DUN daripada 82 kepada 99 turut mengukuhkan keperluan menstruktur semula Kabinet bagi memastikan tadbir urus yang lebih seimbang, responsif dan efektif.
Dato Sri Abdul Karim menjelaskan bahawa walaupun peruntukan pindaan membenarkan sehingga 14 Menteri, kuasa menentukan bilangan sebenar serta pembentukan, pemecahan atau penyusunan kementerian kekal sebagai prerogatif penuh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Premier Sarawak boleh menambah, memecah atau mengurangkan kementerian mengikut keperluan. Prerogatif itu sepenuhnya milik beliau,” jelasnya.
Mengulas mengenai keupayaan kewangan, beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan penambahan kementerian hanya akan dibuat apabila kerajaan yakin sepenuhnya mampu menanggung keseluruhan kos pentadbiran, termasuk bajet agensi, operasi dan struktur sokongan kementerian.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Jaed Tepus