Penubuhan Lembaga Bangunan Sarawak Perlu Diperhalusi, Elak Pertindihan Fungsi
KUCHING: Cadangan penubuhan Lembaga Bangunan Sarawak atau Sarawak Building Board dalam Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 perlu diteliti dengan lebih mendalam bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan bidang kuasa dengan badan profesional sedia ada.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, walaupun penubuhan lembaga tersebut selaras dengan usaha memodenkan Ordinan Bangunan 1994, namun beberapa perkara asas perlu diperinci supaya fungsi baharu itu tidak mewujudkan kekeliruan dalam sistem kawal selia pembinaan di negeri ini.
Menurutnya, Lembaga Bangunan Sarawak seperti yang dicadangkan bakal menjadi badan pusat yang mengawal selia standard bangunan, akreditasi bangunan hijau, pematuhan teknikal dan penguatkuasaan.
"Namun tanggungjawab tersebut berpotensi bertindih dengan peranan badan profesional seperti Board of Engineers Malaysia (BEM), Institution of Engineers Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM).
"Wujud kemungkinan pertindihan bidang kuasa antara lembaga baharu ini dengan badan profesional yang telah lama berfungsi. Oleh itu, garis pemisah yang jelas perlu ditetapkan bagi memastikan koordinasi yang lancar dan mengelakkan kekeliruan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa proses pelantikan ahli lembaga perlu digariskan dengan jelas, termasuk syarat kelayakan profesional agar Lembaga Bangunan Sarawak menjadi badan yang berwibawa, kompeten dan diyakini umum.
Selain itu katanya, kesiapsiagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu diberi perhatian memandangkan mereka merupakan barisan hadapan dalam kawal selia bangunan.
“Kekurangan pegawai teknikal serta interpretasi standard baharu yang tidak seragam boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan Ordinan.
“Penubuhan lembaga ini mesti disertai latihan, peningkatan kemahiran dan sumber mencukupi kepada pegawai PBT bagi memastikan pelaksanaan standard baharu berjalan dengan lancar,” ujarnya.–EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Uszryn Sunaini