RUU Bangunan 2025 Satukan Standard Hijau, Perkukuh Kawal Selia Profesional di Sarawak
KUCHING: Sarawak mengambil langkah penting ke arah penyelarasan standard bangunan hijau apabila pindaan kepada Ordinan Bangunan 1994 diperkenalkan bagi mewujudkan satu piawaian teknikal yang seragam untuk seluruh negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang berkata, penyelarasan ini diperlukan bagi memastikan semua pihak termasuk arkitek, jurutera dan pihak berkuasa tempatan menggunakan rujukan yang sama dalam pembangunan bangunan hijau.
Menurutnya, kewujudan pelbagai tafsiran dan syarat berbeza antara majlis daerah serta perunding projek sebelum ini menimbulkan ketidakseragaman sekali gus menjejaskan kelancaran proses kelulusan.
“Hari ini standard tidak seragam. Majlis berbeza, perunding berbeza, tafsiran hijau juga berbeza.
“Itu sebab ada bangunan sedia ada yang tidak dapat disahkan sebagai bangunan hijau walaupun dibina dengan niat sedemikian. Pindaan ini menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dato Ir. Lo menjelaskan bahawa penubuhan Lembaga Bangunan Sarawak atau Sarawak Building Board di bawah pindaan ini akan menjadi badan pusat yang bertanggungjawab menetapkan piawaian teknikal, menyelaras proses akreditasi dan memastikan pelaksanaan bangunan hijau lebih konsisten serta bebas kekeliruan.
Selain itu, beliau menekankan keperluan memperkukuh kawal selia profesional melalui proses akreditasi yang jelas bagi arkitek dan jurutera yang terlibat dalam pembangunan bangunan hijau di Sarawak.
“Tanpa lembaga ini, sesiapa sahaja boleh datang dari luar mengaku sebagai arkitek atau jurutera.
“Kita perlu memastikan hanya profesional bertauliah termasuk arkitek hijau yang diiktiraf dibenarkan menghasilkan reka bentuk bangunan mesra alam di negeri ini,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa dua Pesuruhjaya tambahan yang dicadangkan di bawah pindaan ini akan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan termasuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan piawaian.
Dalam reaksinya terhadap kebimbangan yang dibangkitkan ADUN Padungan, beliau menegaskan bahawa pindaan tersebut bukan menambah birokrasi baharu sebaliknya menyelesaikan isu ketidakselarasan standard yang menjadi punca kelewatan kelulusan sebelum ini.
“Ini bukan soal lambat atau cepat. Kelulusan hari ini lambat kerana standard tidak selaras. Pindaan ini menjadikan proses lebih konsisten, lebih profesional dan lebih kredibel,” tegasnya.
Dato Ir. Lo menambah bahawa Sarawak perlu bergerak seiring perkembangan ekonomi hijau global yang menuntut pensijilan bertauliah untuk menarik pelabur serta memenuhi keperluan ESG.–EDISI UKAS