BC, DVS Bekerjasama Bangunkan Produk Anthelmintik Untuk Ternakan
KUCHING: Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bekerjasama untuk membangunkan produk anthelmintik yang berfungsi mengeluarkan cacing parasit dan parasit dalaman lain bagi ternakan menerusi satu sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen Sarawak untuk memajukan bioekonomi moden berteras sains dalam masa yang sama memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sarawak untuk menjadi penyelesaian bernilai tinggi yang mengukuhkan keselamatan makanan serta menyokong ketahanan ternakan di sini.
Menurutnya, ini secara langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada ubat sintetik import, sambil menggalakkan inovasi yang berpaksikan sumber semula jadi dan pengetahuan tempatan kita.
“Ketika pengeluar ternakan berhadapan dengan cabaran yang semakin meningkat akibat parasit tahan ubat, inisiatif ini meletakkan Sarawak di barisan hadapan dalam menyediakan penyelesaian generasi baharu yang mampan bagi membantu para penternak meningkatkan produktiviti serta menyumbang kepada sistem agro-makanan yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan sesi pertukaran MoU antara SBC yang diwakili Setiuasaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Datu Adana Jed dan Pengarah DVS Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud, di sini pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri MEITD Datuk Francis Harden Hollis dan Ketua Pegawai Eksekutif SBC Dato Dr Yeo Tiong Chia.
Mengulas lanjut, Dato Sri Roland Sagah menjelaskan penyelidikan ini akan melibatkan penglibatan masyarakat tempatan khususnya kaum Bidayuh untuk membekalkan bahan mentah iaitu tumbuhan Sipudun atau dalam bahasa saintifiknya, Picria fel-terrae.
Sementara itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi menjelaskan, tumbuhan ini yang hanya boleh didapati di kawasan Asia Tenggara akan membuka laluan kepada Sarawak mengkomersialkan produk akhir sekiranya kajian ini berjaya terutamanya kepada negara pengeluar hasil ternakan seperti New Zealand.
“Sarawak sangat kaya dengan biodiversiti, dan kita berhasrat untuk memanfaatkan potensi ini di mana SBC memainkan peranan penting dalam kemajuan kita.
“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sumber perubatan dari bahagian lain dunia kerana kita sudah memiliki sumber asli yang banyak dan matlamat kita adalah untuk meneroka dan membangunkan sumber ini sebaik mungkin, termasuk memohon paten bagi Sarawak,” ujarnya.
Dalam konteks ini, pindaan kepada Ordinan Sarawak Biodiversiti telah memberi kuasa kepada SBC termasuk untuk tujuan komersial serta menubuhkan syarikat subsidiari bagi memabawa hasil penyelidikan ke pasaran luar. -EDISI UKAS