Pelbagai Inisiatif, Program Strategik Akan Dilaksana Tahun Depan
KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED) akan memperkukuh penglibatan belia dalam sektor keusahawanan pada tahun 2026 melalui pelaksanaan inisiatif dan program strategik merangkumi latihan intensif, pemantapan kemahiran digital, program outreach dan pengukuhan jaringan mentor di Sarawak.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, pelan bersepadu itu disusun untuk meningkatkan kemahiran, akses pembiayaan serta daya saing usahawan pemula belia di pelbagai peringkat.
Menurutnya, Program Sarawak Youth StartUp (SYStartUP) Kohort 3 akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada latihan asas perniagaan, digitalisasi serta bimbingan mentor bagi memantapkan modal pengetahuan peserta.
“Sejak dilaksanakan, program ini telah menarik penyertaan ratusan belia di seluruh Sarawak, dengan Kohort 1 selesai pada 7 hingga 15 Disember 2024 di Kuching seramai 275 peserta, Kohort 2 pada 8 hingga 15 November lalu di Miri seramai 150 peserta dan seterusnya Kohort 3 akan diadakan di zon tengah pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.
Datuk Dr. Ripin menambah, bagi memperluas capaian keusahawanan, program Youth Entrepreneur Setup (YES 3.0) akan dijalankan secara outreach dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pertanian, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif
dan Seni Persembahan (MTCP).
Jelasnya, program ini memberi pendedahan tentang proses penubuhan syarikat, pendaftaran lesen dan peluang dalam sektor technopreneur, agropreneur serta industri kreatif.
Datuk Dr Ripin menambah, Startup Biz Initiative 2.0 turut diperluas ke enam lokasi baharu tahun hadapan bagi meningkatkan literasi pemasaran digital dan produktiviti alumni SYStartUP.
Selain itu katanya, Sarawak Youth Business Idea Competition (SaYBIC) 2026 akan dilaksanakan bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak bagi mencungkil idea perniagaan inovatif belia Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Beliau juga memaklumkan bahawa, program BeliaGoBiz juga disasarkan ke lebih banyak lokasi pada 2026, menggabungkan elemen keusahawanan, sukan dan pembangunan bakat sebagai pendekatan menyeluruh membina keupayaan belia.
Dalam masa sama, Datuk Dr. Ripin menambah, MySED akan mewujudkan Youthpreneur Hub di IPT terpilih melalui kerjasama dengan CENTEXS Commercial dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), bertujuan mempertingkatkan kualiti dan kebolehpasaran produk usahawan belia.
MYSED juga katanya, turut bekerjasama dengan MINTRED bagi merangka garis panduan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta dalam pembangunan Startup PMKS, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembiayaan dan jaringan industri untuk belia.
Program susulan berbentuk pemantauan berkala, Meet and Greet, akan diteruskan bagi memastikan peserta SYStartUP mendapat sokongan berterusan sepanjang proses mengembangkan perniagaan masing-masing, tambahnya.-EDISI UKAS