JKR Sarawak Daftar Bekas Jalan Balak ke Rumah Panau di Bawah MARRIS
KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan mendaftarkan bekas jalan balak ke Rumah Panau, Teberu Ulu Kemalin di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk diselenggara menggunakan ‘Term Contract’ di bawah Program Penyelenggaran Jalan Raya Negeri.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, berkata langkah ini bertujuan memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan sementara menunggu pelaksanaan kerja naik taraf penuh.
Beliau menjelaskan bahawa pendaftaran jalan berkenaan di bawah MARRIS merupakan penyelesaian jangka pendek bagi memastikan penyelenggaraan dapat dilakukan secara berkala.
Menurutnya, bagi perancangan jangka masa panjang, kerja menaiktaraf bekas jalan balak itu telah dimasukkan dalam skop projek "Proposed Upgrading Road From Melabo Air, Betong to Rumah Suing and Jalan Entabai Sarikei" dan akan dikemukakan untuk pertimbangan di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
“Projek jalan ini akan melengkapkan rangkaian jalan yang menghubungkan Jalan Ulu Entaih / Rh Sang (Daerah Pakan) hingga ke Melabo Air dan Ulu Layar (Bahagian Betong).
“Di samping itu, projek ini akan mengurangkan kos pengangkutan serta memendekkan masa perjalanan daripada kira-kira tiga setengah jam kepada dua jam, sekali gus memudahkan pergerakan antara Daerah Pakan dan Bahagian Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Dato Rolland Duat Jubin pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.
Datuk Ir. Aidel menjelaskan, skop naik taraf untuk projek ini merangkumi pengambilan tanah, pemindahan utiliti, pembinaan jalan sepanjang kira-kira 11.70 kilometer (KM) mengikut spesifikasi piawaian JKR R1, pembinaan dua buah jambatan konkrit bertetulang (R.C.) sepanjang 50 meter setiap satu dan sebuah jambatan sepanjang 100 meter, pembinaan struktur perparitan seperti pembetung dan perabot jalan.
Menurutnya lagi, projek naik taraf jalan ini dianggarkan menelan kos keseluruhan sebanyak RM151.3 juta.-EDISI UKAS