KUCHING: Kerajaan Sarawak setakat ini telah berjaya menyelesaikan 11 tuntutan yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pencapaian ini adalah hasil rundingan berterusan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui platform rasmi termasuk Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
“Kerajaan Sarawak kini telah mengambil alih kuasa pengawalseliaan Gas Petroleum Cecair (LPG) melalui PETROS memperkukuhkan kawalan negeri terhadap sumber tenaga strategik. Selain itu, Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk mengembalikan status Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi sama rata dalam pembentukan Malaysia, sejajar dengan semangat MA63. Pindaan juga telah dilakukan terhadap tafsiran istilah ‘Federation’ di bawah Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang kini secara perlembagaan merangkumi MA63 serta dokumen berkaitan seperti Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Selain itu, Artikel 161A telah dipinda bagi memberikan kuasa penuh kepada Kerajaan Sarawak untuk mentakrifkan istilah ‘pribumi dengan lebih menyeluruh dan inklusif. Negeri juga diberikan kuasa untuk mengeluarkan Lesen Perikanan Laut Dalam melalui Jabatan Perikanan Laut Sarawak serta Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah.
“Tambahan lagi, Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) kini diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 membolehkan mereka mengurus projek persekutuan di Sarawak bernilai sehingga RM50 juta,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkaitan status terkini rundingan perkara-perkara MA63 bagi Sarawak pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini pada Selasa.
Tambah beliau lagi, pindaan telah dibuat ke atas Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) untuk membolehkan pelantikan wakil tetap dari Sabah dan Sarawak ke Lembaga tersebut telah dipersetujui dan Kerajaan Persekutuan juga telah mengeluarkan Garis Panduan Khas bagi memudahkan pemulangan tanah yang diperuntukkan untuk tujuan persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Ordinan Buruh Sarawak (Cap.76) pula telah dipinda dan dikuatkuasakan mulai 1 Mei 2025, sementara Pelabuhan Bintulu kini ditukar status daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri dan tuntutan terakhir iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) kini diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
Dalam perkara yang sebahagiannya telah diselesaikan, beliau menjelaskan Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk meningkatkan jumlah Geran Khas Sarawak daripada RM300 juta pada 2024 kepada RM600 juta pada 2025 untuk tempoh lima tahun selagi formula Geran Khas yang dicadangkan oleh Sarawak diluluskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Perkara yang disetujui secara prinsip termasuk pemerkasaan kuasa pengawalseliaan alam sekitar kepada Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Sarawak.
Namun begitu, jelasnya terdapat beberapa isu utama masih memerlukan rundingan lanjut antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Ia termasuk cadangan menambah bilangan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam Dewan Rakyat dan cadangan memindahkan Butiran 25A (Pelancongan) daripada Senarai I (Persekutuan) ke Senarai III (Bersekutu), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS