KEMAS Sarawak Perkukuh Pendidikan Awal Melalui Transformasi Digital & Pra-Tahfiz
KOTA SAMARAHAN: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak terus memperkukuh agenda pendidikan awal kanak-kanak melalui pelaksanaan inisiatif digital baharu serta pengembangan program pra-tahfiz yang menunjukkan peningkatan ketara sejak dua tahun lalu.
Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Anisah Saidin berkata, pendidikan awal KEMAS bukan sahaja tertumpu kepada pengenalan huruf dan angka, tetapi turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dan pembangunan minda kanak-kanak.
“Anak-anak KEMAS bukan sahaja tahu membaca dan mengira tetapi kita mahu mereka berfikir, yakin dan memiliki sahsiah yang kukuh sebelum melangkah ke Tahun Satu,” katanya ketika merasmikan Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika & Taska KEMAS P.200 Batang Sadong di Dewan Peladang, di sini pada Selasa.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan program Save for the Golden Future serta Majlis Khatam Perdana Pra-Tahfiz Tabika KEMAS melibatkan 64 kanak-kanak manakala keseluruhannya 162 kanak-kanak diraikan daripada 30 TABIKA dan lapan TASKA KEMAS.
Anisah menambah, modul pembelajaran KEMAS adalah selaras dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi memastikan kanak-kanak memiliki asas akademik sosial dan emosi yang kukuh sebelum memasuki Tahun Satu.
KEMAS turut mengutamakan penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif selamat dan menyeronokkan demi perkembangan awal yang menyeluruh.
Dalam usaha memperluas transformasi digital KEMAS memperkenalkan konsep Smart Classroom yang berasaskan teknologi interaktif dengan penggunaan peranti digital futuristik.
Sarawak dijangka memperkenalkan Smart Classroom pertama pada 2026 dengan Simunjan berpotensi menjadi lokasi pelaksanaannya pada 2027.
“Transformasi digital bukan pilihan tetapi keperluan kita mahu melahirkan generasi ‘PASTI Digital’ yang mampu berdiri setanding dengan perkembangan teknologi dunia,” jelasnya sambil menyatakan bahawa pendekatan tersebut merupakan sebahagian agenda pendidikan berasaskan STEM.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh:
Mohammad Nizam Othman
Muhammad Ridzwan Jemat
UKAS Bahagian Samarahan