Sarawak Beralih Menjadikan Sisa Sebagai Sumber Ekonomi Baharu
KUCHING: Sarawak berada pada landasan untuk menjadikan sisa buangan sebagai sumber ekonomi baharu apabila pengurusan sisa tidak lagi dilihat sebagai beban.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, sisa buangan sebenarnya merupakan aset yang berpotensi menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan perbelanjaan negeri dalam jangka panjang.
Jelasnya, dunia kini bergerak ke arah model baharu ekonomi hijau di mana sisa dilihat sebagai sumber yang boleh diguna semula, diproses dan dikitar untuk manfaat ekonomi dan alam sekitar.
“Langkah melalui Rang Undang-Undang Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 menjadi platform penting untuk mengubah pendekatan tradisional daripada ‘buang dan lupus’ kepada ‘guna, jana dan untung’.
“Sisa bukan lagi beban sebaliknya ia adalah sumber. Dengan dasar yang betul, sisa boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang baharu kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr. Simon menegaskan bahawa pengurusan sisa yang sistematik bukan sahaja mengurangkan kos kerajaan dalam aspek kutipan, pelupusan dan pengurusan landfill, malah boleh mewujudkan sektor pekerjaan hijau seperti pengoperasian pusat kitar semula, kemudahan kompos, industri pembaikan dan teknologi mesra alam.
“RUU ini mengubah sisa daripada beban kewangan kepada peluang ekonomi dengan mewujudkan pekerjaan hijau, mengurangkan perbelanjaan awam dan memacu industri baharu,”ujarnya.
Tambahnya, usaha ini juga memberi mesej jelas bahawa Sarawak tidak lagi melihat sisa sebagai masalah terpencil, tetapi sebagai peluang ekonomi strategik untuk masa depan negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Uszryn Sunaini