Sarawak Tingkatkan Ekonomi Melalui RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 disifatkan sebagai langkah penting Sarawak untuk memacu ekonomi hijau dan ekonomi kitaran menerusi kerangka perundangan yang moden dan menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Adam Yii Siew Sang berkata, usaha ini menyediakan struktur lengkap bagi pengurusan sisa meliputi penghasilan, pengasingan, pengutipan, pengangkutan, rawatan, kitar semula dan pelupusan selamat.
Jelasnya, inisiatif tersebut turut mewujudkan sebuah pihak berkuasa khusus dengan kuasa mengawal selia, melaksanakan tindakan, membangunkan garis panduan, menjalankan penyelidikan dan meningkatkan kesedaran awam berhubung pengurusan sisa.
"Pelaksanaannya dianggap kritikal dalam menyokong Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 melalui pembangunan industri hijau, ekonomi kitaran dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Penubuhan Dana Pengurusan Sumber Mampan dan Sisa dijangka membuka aliran hasil baharu melalui yuran pelesenan, levi, penalti penguatkuasaan serta pulangan pelaburan," katanya ketika membahaskan RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Selasa.
Sementara itu, beliau menambah, melalui pelaksanaan dasar ini, bahan buangan seperti biojisim, sisa kayu, sisa pembinaan dan hasil sampingan industri dapat dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu yang berpotensi menjana pendapatan.
"Usaha ini turut dilihat sebagai pendekatan melindungi kesihatan awam memandangkan sisa yang tidak diurus dengan baik boleh menyebabkan pencemaran, pembiakan nyamuk dan risiko penyakit," ujarnya lagi.
Katanya lagi, program “Monetize Your Waste & Incentivize Waste Segregation” oleh Majlis Bandaraya Miri bermula 1 Januari 2026 dijadikan contoh bagaimana inisiatif pengasingan sisa mampu menjimatkan kos sehingga RM12 juta setahun.-EDISI UKAS