Belanjawan Sarawak 2026: Rakyat Diseru Manfaatkan Platform Digital
KUCHING: Rakyat Sarawak diseru memperkukuh etika kerja, mengurus kewangan secara berhemah serta memanfaatkan teknologi digital bagi memastikan pembangunan negeri terus dipacu.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan), Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, walaupun jumlah bajet tahun ini mencatat sedikit penurunan berbanding tahun lalu, tumpuan kerajaan negeri terhadap pembangunan infrastruktur dan pembangunan insan kekal jelas serta menyeluruh.
“Bajet ini tetap komprehensif. Keutamaan kepada pembangunan luar bandar seperti jambatan, jalan dan kemudahan asas menunjukkan kerajaan terus memberi perhatian kepada kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Sarawak (UKAS) di sini pada Selasa.
Beliau turut menggesa rakyat memanfaatkan sepenuhnya media sosial dan teknologi digital sebagai platform untuk meningkatkan pendapatan, memperluas jaringan dan memasarkan produk.
“Kita gunakan apa yang ada pada masa sekarang seperti media sosial untuk meningkatkan penjualan dan jaringan. Ambillah peluang ini untuk sama-sama membina kerjaya dan menyokong pembangunan Sarawak,” tambahnya.
Beliau juga merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Layar, menyambut baik pelaksanaan pendidikan percuma merangkumi beberapa bidang pengajian di universiti milik kerajaan negeri bermula tahun hadapan, yang disifatkan sebagai peluang besar untuk belia meningkatkan masa depan mereka.
Dalam masa yang sama, Datuk Gerald menekankan kepentingan disiplin kewangan dalam kalangan rakyat, termasuk mengelakkan perbelanjaan berlebihan dan mengutamakan simpanan sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Jelasnya, hanya dengan usaha bersama seluruh rakyat, termasuk mereka yang menerima bantuan kerajaan, Sarawak dapat mencapai aspirasi 2030 yang kini berbaki empat tahun sahaja lagi.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee