KUCHING: Sisa industri kelapa sawit dilihat berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu Sarawak apabila bahan buangan sawit bukan lagi dianggap sisa lupus sebaliknya aset komersial yang mampu menjana nilai tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata peluang memonetisasi sisa sawit membuka dimensi baharu dalam pengurusan sisa negeri sekali gus menggerakkan sektor ekonomi yang lebih mampan dan berdaya maju.
Beliau menjelaskan bahawa banyak peluang ekonomi sebelum ini hilang begitu sahaja kerana sisa tidak diurus sebagai sumber bernilai yang boleh diproses untuk tujuan tenaga, baja, bioplastik, biochar dan produk berasaskan biojisim.
“Sisa sawit sebenarnya mempunyai nilai komersial yang besar dan boleh menjadi sumber ekonomi baharu kepada negeri jika diurus secara betul dan tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dato Dennis menegaskan bahawa potensi ekonomi sisa sawit bukan hanya tertumpu kepada pemain industri besar, tetapi turut memberi manfaat langsung kepada komuniti luar bandar termasuk rumah panjang, kampung dan kawasan pedalaman yang menjadi tulang belakang ekonomi Sarawak.
“Peluang dalam biojisim sawit ini bukan hanya untuk syarikat besar, tetapi boleh menjana pendapatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang hidup dan bekerja di wilayah tanaman sawit,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, pembangunan industri berasaskan sisa sawit mampu mewujudkan peluang pekerjaan hijau, mengurangkan kebergantungan kepada landfill serta menyokong pembentukan ekonomi kitaran yang lebih cekap dan berdaya tahan.
Jelas beliau, penubuhan badan pengurusan sisa yang lebih tersusun akan membuka ruang kepada inovasi pelaburan dan infrastruktur yang sesuai dengan geografi Sarawak khususnya kawasan luar bandar yang memerlukan model pelaksanaan tersendiri.
Beliau menambah bahawa usaha ini juga menyampaikan mesej jelas bahawa Sarawak bersedia bergerak ke arah model ekonomi baharu yang bukan sahaja melindungi alam sekitar tetapi meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Hazrin Sunaini