Artikel 112D Jamin Hak Sarawak Laksana Semakan Kewangan Setiap Lima Tahun
KUCHING: Sarawak tetap mempunyai hak sah untuk menjalani semakan kewangan setiap lima tahun melalui Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini dalam tuntutan kewangan terhadap Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menjelaskan meskipun tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan Sarawak hak terhadap tuntutan 40 peratus hasil seperti yang dinikmati Sabah, negeri ini tetap dilindungi melalui mekanisme semakan kewangan berkala yang diwajibkan setiap lima tahun di bawah Artikel 112D.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu mengenai hak Sabah itu membawa prinsip penting bahawa kewajipan kewangan Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak bukan bersifat pilihan tetapi merupakan tanggungjawab yang tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.
“Keputusan ini menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab kewangan terhadap Sabah dan Sarawak, tanggungjawab ini bukan sesuatu yang boleh dilengah-lengahkan atau dilaksanakan secara budi bicara.
“Walaupun Sarawak tidak mempunyai peruntukan 40 peratus seperti Sabah, hak negeri ini tetap terjamin melalui Artikel 112D yang menetapkan semakan kewangan setiap lima tahun.
“Semakan ini mesti dilakukan secara telus, tepat pada masanya dan berdasarkan formula yang jelas dan konsisten. Prinsip ini penting untuk memastikan Sarawak menerima apa yang sewajarnya mengikut kedudukannya dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Beliau menambah, rundingan mengenai Geran Khas antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan sedang berjalan dengan kemajuan yang positif melalui perbincangan teknikal dan konsultasi bagi memuktamadkan formula yang lebih adil dan menggambarkan keupayaan serta sumbangan sebenar negeri ini.
Dalam hal itu, Datuk Sharifah Hasidah memaklumkan bahawa sebagai langkah interim, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju meningkatkan Geran Khas Sarawak daripada RM300 juta pada 2024 kepada RM600 juta bermula 2025 untuk tempoh lima tahun.
Katanya, walaupun peningkatan itu dialu-alukan, Kerajaan Sarawak tetap komited memperjuangkan formula muktamad yang lebih telus menyeluruh dan memberi jaminan pembayaran jangka panjang selaras dengan hak negeri di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Ameerul Syafiq