SEB Miliki Unit OGO, Pulih Sistem Solar Jika Berlaku Kerosakan
KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) mempunyai Unit Off-Grid Operation (OGO) yang siap siaga memulihkan sistem solar sekiranya berlaku kerosakan di rumah-rumah panjang di Kapit.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki berkata, Unit OGO turut bertindak segera membaiki sistem solar serta melaksanakan kerja penyelenggaraan berkala bagi memastikan sistem berfungsi dengan baik.
"Cabaran utama dalam penyelenggaraan sistem solar di rumah-rumah panjang adalah kerana kedudukan rumah panjang yang terpencil dan susah diakses," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambahnya, skop penyelenggaraan merangkumi pemeriksaan, pengujian dan penyelenggaraan panel solar PV, bateri, inverter, pendawaian, struktur panel dan talian atas bekalan elektrik bagi memastikan kecekapan sistem sentiasa terpelihara.-EDISI UKAS
Wartawan: Mia Amira
Jurugambar: Ameerul Syafiq Khir