Cadangan Tubuh Unit Khas Narkotik di IPD Meradong, Bendung Penyalahgunaan Dadah
KUCHING: Cadangan untuk menubuhkan sebuah unit khas narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong dikemukakan bagi memperkukuhkan usaha memerangi penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, langkah tersebut penting untuk mengawal serta mengurangkan indeks dadah daerah itu, selain melindungi golongan muda daripada terus terjerumus dalam ketagihan.
Menurutnya, pihak berkuasa berkaitan juga diharapkan dapat menambah tenaga kerja di IPD Meradong bagi membanteras premis perjudian haram yang masih wujud di kawasan tersebut.
“Kes dadah kini semakin berleluasa di Daerah Meradong. Tahun ini, beberapa individu muda telah ditahan polis menerusi operasi khas membanteras dadah (Ops Tapis Khas) dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Situasi ini membimbangkan kerana menunjukkan gejala dadah semakin mempengaruhi generasi muda, seterusnya menjejaskan keselamatan komuniti dan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Ding turut memuji usaha Ketua Polis Daerah yang baharu dan melaksanakan pelbagai operasi memerangi jenayah narkotik serta jenayah lain di Meradong demi memastikan komuniti yang aman, toleran dan harmoni.-EDISI UKAS