Belanjawan Sarawak 2026: Lebih Banyak Peruntukan Untuk Rakyat
KUCHING: Belanjawan Sarawak 2026 dilihat semakin kukuh dengan lonjakan besar pendapatan negeri sejak 2017, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk menyalurkan peruntukan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada anjakan ekonomi baharu dengan tidak lagi bergantung kepada sumber semula jadi.
“Kita melihat kepada ekonomi baharu seperti hidrogen dan ekonomi hiliran gas dan sebagainya untuk menambah pendapatan Sarawak supaya kita tidak hanya mengharapkan sumber seperti pembalakan yang terdahulu,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan di kawasan Lundu dan Sematan kini mencapai kira-kira 80 peratus, meliputi projek asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya, hasil kelulusan hampir semua permohonan pembangunan di bawah RMK-12 dan RMK-13.
"Kemajuan infrastruktur ini menarik lebih banyak pelaburan swasta di Lundu, Sematan dan Sampadi terutamanya dalam sektor pelancongan dengan pelbagai pembangunan resort, hotel dan kemudahan baharu," katanya.
Dalam masa sama, Azizul menyeru golongan belia memanfaatkan tumpuan kerajaan terhadap pembangunan modal insan termasuk pelaksanaan pendidikan percuma yang bermula tahun depan.
“Saya memberi nasihat, terutama sekali kepada para belia, jika kita lihat pada belanjawan yang dibentangkan oleh Premier Sarawak pada minggu ini, banyak yang difokuskan kepada pembangunan modal insan dan bakat termasuklah pendidikan percuma bermula pada 2026,” ujarnya.
Di bawah inisiatif pendidikan percuma ujarnya, pelajar Sarawak akan menikmati pembiayaan penuh dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM), selain Undang-undang, Perubatan, Perakaunan, Kewangan dan Psikologi di institusi pengajian tinggi milik Sarawak.
Jelasnya, anak muda Sarawak perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang sesuai untuk menyokong perkembangan industri negeri pada masa hadapan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Hisyam Ariff