Sarawak Tuan Rumah Borneo Animation & Games Festival 2026
KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah kepada acara digital global pertama Malaysia apabila Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Digital dan Kerajaan Sarawak bersetuju menganjurkan Borneo Animation & Games Festival (BAGF) pada Ogos 2026.
Menteri Digital Malaysia Gobind Singh berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memberikan persetujuan untuk menubuhkan sebuah jawantankuasa bersama melibatkan Kerajaan Sarawak dan Kementerian Digital melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memuktamadkan persediaan acara tersebut.
“Kita ingin membawa sebuah acara global ke Sarawak pada Ogos 2026, dengan persetujuan Premier Sarawak jawatankuasa ini akan merangka cadangan terperinci sebelum saya membentangkannya ke Kabinet pada suku pertama tahun depan,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di sini pada Rabu.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong serta delegasi daripada Kementerian Digital Malaysia.
BAGF 2026 akan menjadi acara bertaraf antarabangsa dan sebahagian daripada usaha menjadikan Sarawak sebagai ‘Heart of Southeast Asia’s Digital Creative Industry’.
Festival lima hari itu menyasarkan penyertaan seramai 300 delegasi industri dengan 40 peratus daripadanya wakil antarabangsa, melibatkan lebih 200 pempamer dari dalam dan luar negara serta turut menarik penglibatan gergasi industri global seperti Disney, DreamWorks, Netflix, Sony Pictures Animation, Konami dan Nintendo.
Acara itu turut memfokuskan pembangunan perniagaan melalui Business Matching, sesi jaringan industri dan platform ‘Elevator Pitch’ bagi membuka peluang perniagaan kepada bakat tempatan.
Sementara itu, Gobind Singh turut menyatakan bahawa BAGF 2026 akan menjadi pemangkin kepada agenda nasional, termasuk pelaksanaan AI Nation 2030, yang memerlukan penyelarasan erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan PBT.
Beliau memaklumkan Premier Sarawak bersetuju agar satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan untuk menentukan halatuju, model pelaksanaan serta kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak.
Penganjuran BAGF 2026 akan meletakkan Sarawak sebagai hab baharu industri animasi, permainan digital dan teknologi kreatif Asia Tenggara.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Jaed Tepus