MFAIC 2025 Fokus Peranan Kewangan Lestari Dalam Ekonomi Masa Depan
MIRI: Persidangan Antarabangsa Persatuan Kewangan Malaysia (MFAIC) 2025 memberi tumpuan kepada peranan kewangan lestari sebagai pemacu utama ekonomi masa depan, khususnya dalam menghadapi perubahan iklim, transformasi digital dan peralihan global ke arah ekonomi sifar bersih.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata tema persidangan “Sustainable Finance and Business: Transition into a Resilient and Net-Zero Economy” mencerminkan keperluan untuk kerajaan, industri dan masyarakat di seluruh dunia membangunkan model pertumbuhan yang lebih bertanggungjawab serta berdaya tahan dalam jangka panjang.
“Tema MFAIC 2025 ini secara langsung mentakrifkan cabaran generasi kita. Kerajaan, industri dan komuniti di seluruh dunia sedang menangani risiko iklim, memperkukuh amalan ESG, mempercepatkan pendigitalan dan mentakrifkan semula bagaimana ekonomi boleh berkembang secara bertanggungjawab dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Kaunselor Kelvin Chia Kah Leong semasa perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Kewangan Malaysia (MFAIC) 2025 ke-27 anjuran Universiti Curtin Malaysia di sini, pada Rabu.
Menurut Datuk Sebastian, persidangan yang menghimpunkan pakar industri, ahli akademik, pembuat dasar dan pemimpin muda ini menjadi platform penting untuk berkongsi pandangan dan merangka strategi ke arah pembangunan mampan.
Jelasnya, kewangan lestari kini memainkan peranan besar dalam pelaburan korporat, perancangan kerajaan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata, penganjuran MFAIC 2025 di Miri membantu membentuk rangka kerja yang menyokong inovasi, ketahanan ekonomi dan pertumbuhan inklusif melalui perbincangan mengenai kewangan iklim, fintech, integrasi ESG dan model perniagaan bertanggungjawab.
Datuk Sebastian menegaskan bahawa pertukaran idea merentas negara dan bidang mampu mencetuskan kerjasama baharu yang dapat memperkukuh dasar, meningkatkan daya saing industri dan memberi manfaat kepada komuniti, sekali gus menghubungkan pengetahuan global dengan aspirasi tempatan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara universiti, industri, penyelidik dan pembuat dasar dalam memastikan pembangunan ekonomi masa depan lebih mampan dan bersedia menghadapi perubahan global.
Katanya lagi, persidangan seperti ini mampu menyumbang kepada penyelidikan berimpak tinggi, amalan perniagaan yang lebih lestari dan dasar yang lebih kukuh, di samping memperkukuh kedudukan Sarawak dalam agenda kelestarian global.
Beliau menyeru semua peserta memanfaatkan platform antarabangsa ini untuk membentuk kerjasama bermakna serta inovasi yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat dan masa depan ekonomi global.
Sementara itu, Timbalan Pro Naib Canselor Profesor Tuong-Thuy Vu dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa Curtin Malaysia komited menjadikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) sebagai asas akademik, penyelidikan dan operasi universiti.
Beliau menekankan bahawa penganjuran MFAIC di Miri mencerminkan komitmen global dan tanggungjawab tempatan dalam mendukung agenda kelestarian, digital dan inovasi.
Persidangan selama dua hari ini disertai seramai lebih 150 peserta termasuk lebih 40 delegasi antarabangsa dari Asia, Afrika, Eropah dan Oceania yang mana persidangan ini menekankan peranan sektor kewangan dan perniagaan dalam memacu masa depan yang mampan.-EDISI UKAS