ADUN Balingian Nyata Sokongan Penuh Terhadap Belanjawan Sarawak 2026
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi menzahirkan sokongan penuh terhadap Belanjawan Sarawak 2026 yang disifatkannya sebagai komprehensif, inklusif dan berpaksikan rakyat.
Menurut beliau, belanjawan tersebut dibentangkan pada ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan akibat perubahan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, amalan perlindungan perdagangan serta turun naik harga komoditi. Namun begitu, Sarawak terus menunjukkan ketahanan ekonomi dan tadbir urus fiskal yang berdisiplin.
“Unjuran pertumbuhan ekonomi negeri sebanyak 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2025 dan meningkat kepada 5.0 hingga 6.0 peratus pada 2026 membuktikan keberkesanan dasar negeri, kekuatan sektor ekonomi serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju pembangunan Sarawak.
"Angka ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan teliti, pengukuhan struktur dan pelaburan strategik yang dilaksanakan bertahun-tahun di bawah kepimpinan mantap Premier Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambahnya, Premier Sarawak telah memacu belanjawan ini berasaskan lima keutamaan strategik yang selaras dengan aspirasi jangka panjang negeri untuk muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi, kompetitif, inovatif dan mampan.
Katanya, lima keutamaan tersebut merangkumi pembaharuan fiskal dan struktur, pengurusan kewangan berhemat dan bertanggungjawab, pelaburan bersifat pengembangan yang memacu pertumbuhan, kepelbagaian sumber hasil negeri serta pembangunan inklusif yang memastikan tiada rakyat Sarawak tercicir.
"Dalam aspek pendidikan, sebanyak RM250 juta diperuntukkan untuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma, selain peruntukan tambahan bagi sekolah antarabangsa, pendidikan awal kanak-kanak, komputer riba percuma, baucar buku, bantuan sara hidup pelajar, institusi TVET dan pembangunan bakat semikonduktor.
"Langkah ini memperkukuh ekosistem pendidikan dan menyediakan generasi muda untuk menyertai industri berintensifkan pengetahuan," jelasnya.-EDISI UKAS
Disediakan: Mia Amira
Jurugambar: Ameerul Syafiq Khir