Serumpun Sarawak Angkat Gastronomi Negeri Ke Persada Dunia
KUCHING: Program gastronomi Serumpun Sarawak dilihat sebagai platform strategik untuk mengangkat makanan tradisional dan warisan kulinari negeri ini ke peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program berkenaan membuktikan Sarawak mempunyai keunikan tersendiri untuk diketengahkan kepada dunia melalui gabungan makanan, budaya dan kepelbagaian masyarakatnya.
Menurutnya, Sarawak yang mempunyai 34 kumpulan etnik menawarkan kekayaan budaya dan gastronomi yang luar biasa yang berpotensi besar dalam industri pelancongan makanan.
"Jika kita melihat dari perspektif gastronomi, terlalu banyak yang boleh diketengahkan. Ia adalah satu 'melting pot' pertembungan budaya, pertembungan pelbagai perkara yang boleh kita tawarkan kepada dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Serumpun Sarawak di Kampung Budaya Sarawak, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, penglibatan cef selebriti bertaraf antarabangsa seperti Chef James Won turut membantu memperluaskan capaian promosi gastronomi Sarawak ke peringkat global.
Menurutnya, Chef James Won bukan sahaja memiliki pengaruh besar dalam dunia kulinari, malah mempunyai jaringan antarabangsa yang boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan bahan masakan dan hidangan tradisional Sarawak kepada khalayak luar.
Mengulas kemungkinan program Serumpun Sarawak diperluaskan pada masa akan datang, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, perkara itu akan diteliti berdasarkan sambutan yang diterima, termasuk minat daripada pihak lain yang mula mendekati kementerian selepas inisiatif tersebut diperkenalkan.
"Makanan sangat besar kerana ke mana sahaja anda pergi, anda pasti mahu mencuba makanan tempatan.
"Sarawak mempunyai banyak daripadanya kerana kita mempunyai begitu banyak kumpulan etnik yang berbeza, dan setiap satu mempunyai hidangan tersendiri.
"Pansoh, Midin, Umai. Lihatlah, terlalu banyak dan ia kadang-kadang kita tidak sedar bahawa semua ini dianggap eksotik oleh dunia luar, dan kita memerlukan cef-cef selebriti, mereka yang dikenali di peringkat antarabangsa, untuk membawanya ke hadapan," ujarnya.
Beliau memberi contoh bagaimana mendiang cef antarabangsa terkenal, Anthony Bourdain pernah memperkatakan mengenai Laksa Sarawak, sekali gus menjadikan hidangan itu lebih dikenali di mata dunia.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi Sarawak Tourism Board (STB) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Morshidi Frederick serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS