Ketibaan Pelawat Sarawak Kekal Positif Meski Tekanan Kos Global
KUCHING: Ketibaan pelawat ke Sarawak bagi tempoh Januari hingga Mac kekal positif meskipun berdepan tekanan kos perjalanan susulan konflik di Timur Tengah serta kenaikan harga minyak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, statistik bagi tiga bulan pertama tahun ini menunjukkan momentum kemasukan pelawat masih positif.
“Kita akan terus memantau, namun berharap walaupun berlaku peperangan dan harga minyak meningkat, ketibaan pelawat ke Sarawak masih dapat dikekalkan.
“Sebahagian besar pelawat kita datang dari negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan Singapura, jadi kita tidak perlu terlalu bimbang jika aliran ini berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Serumpun Sarawak di Kampung Budaya Sarawak, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing turut memaklumkan bahawa ketibaan pelawat ke Malaysia pada Mac kekal stabil dan tidak terjejas secara ketara.
Mengulas kemungkinan bantuan kepada pemain industri pelancongan, beliau berkata sebarang tindakan akan dipertimbangkan berdasarkan tahap sebenar impak terhadap sektor tersebut.
Menurutnya, kerajaan perlu menilai kesan menyeluruh termasuk terhadap sektor hospitaliti, pengangkutan serta rantaian bekalan makanan.
“Kita akan lihat seteruk mana keadaannya dan sudah tentu kerajaan Persekutuan juga sedang meneliti perkara ini kerana ia memberi tekanan kepada semua pihak.
“Kita berharap situasi ini tidak berlarutan dan akan kembali reda dalam beberapa bulan akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai penggantungan sementara penerbangan Batik Air ke Bintulu dan Sibu yang dipengaruhi faktor global termasuk kenaikan harga bahan api.
Jelasnya, operasi syarikat penerbangan bergantung kepada faktor komersial, terutama apabila laluan tertentu mencatat kadar muatan rendah susulan kenaikan harga tiket.
Katanya, situasi itu boleh menyebabkan orang ramai menangguhkan perjalanan sekali gus mendorong syarikat penerbangan menilai semula laluan dan kekerapan operasi.
Beliau bagaimanapun optimis keadaan tersebut tidak akan berpanjangan dan dijangka kembali stabil selepas tekanan geopolitik reda.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi Sarawak Tourism Board merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Setiausaha Tetap kementerian berkenaan Morshidi Frederick serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS