UKAS Rakam Ucapan Takziah Atas Pemergian Maffizan Saupie
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian Ketua Penolong Pengarah FINAS Cawangan Sarawak, Allahyarham Maffizan Saupie yang menghembuskan nafas terakhir pada malam Selasa.
Allahyarham meninggal dunia pada jam 10.20 malam ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas mengadu sesak nafas.
Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Semariang, Petra Jaya seusai solat Zohor pada Rabu.
Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada industri kreatif negeri.
Beliau juga meninggalkan seorang balu serta seorang anak lelaki berusia 11 tahun.
Sepanjang hampir dua dekad melibatkan diri dalam dunia perfileman, Allahyarham memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara FINAS, penggiat seni, penerbit tempatan, komuniti kreatif dan agensi-agensi negeri. Keperibadian beliau yang berdisiplin, berjiwa seni dan sentiasa merendah diri turut menjadikan beliau figura disegani dalam kalangan rakan industri.
UKAS turut menzahirkan penghargaan atas komitmen dan dedikasi Allahyarham dalam menyokong pembangunan bakat muda melalui pelbagai program latihan industri, bengkel kreatif dan usaha kolaboratif bersama NGO seni serta komuniti setempat.
Sumbangan, jasa dan legasi beliau akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada penggerak utama kemajuan industri kreatif Sarawak.-EDISI UKAS