Kemudahan Tabika KEMAS Tanjong Manis Dinaik Taraf Demi Pendidikan Awal Berkualiti
TANJUNG MANIS: Kemudahan Tabika KEMAS dinaik taraf melalui peruntukan sekurang-kurangya RM1 juta bagi memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak di Parlimen Tanjong Manis.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen beliau untuk memastikan generasi muda mendapat asas pendidikan yang kukuh sejak di peringkat awal.
“Setakat ini, semua Tabika KEMAS di Tanjong Manis telah dinaik taraf,” ujarnya ketika berucap semasa Majlis Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Sare baru-baru ini.
Beliau turut menekankan bahawa keperluan rakyat di kawasan berkenaan akan terus diberi perhatian menyeluruh, selaras dengan usaha kerajaan agar tiada komuniti yang tercicir.
“Langkah ini penting untuk memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Peruntukan berkenaan meliputi kerja-kerja pembaikan bangunan, penambahbaikan kelengkapan pembelajaran serta penyelenggaraan kemudahan asas bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat, kondusif dan sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.
Antara projek yang dilaksanakan ialah pembaikan Tabika KEMAS Kerubong membabitkan kos kira-kira RM50,000.
Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak agar setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan penduduk setempat.-EDISI UKAS