ADUN Balingian Tekad Perjuang Isu Tempatan Demi Kesejahteraan Rakyat
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan isu-isu tempatan yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat, merangkumi kebajikan nelayan, penambahbaikan infrastruktur serta penyediaan kemudahan awam yang lebih selamat dan berfungsi.
Beliau berkata beberapa isu mendesak perlu diberi perhatian segera, termasuk kebimbangan penangkapan nelayan tempatan di Kuala Balingian dan Mukah.
Justeru, beliau mencadangkan penempatan agensi kerajaan berkaitan sebagai langkah memperkukuh pemantauan dan keselamatan komuniti nelayan.
Antara cadangan tersebut ialah penubuhan Pusat Kawalan Operasi APM di Daerah Kecil Balingian, naik taraf premis Bomba Komuniti, latihan berkala untuk pasukan Bomba Sukarela serta penempatan seorang pegawai penyelia sepenuh masa di Stadium Mini Balingian.
Menyentuh isu pendidikan, Abdul Yakub menggesa agar projek pembinaan SMK Balingian yang telah lama tertangguh dapat dipercepatkan demi memastikan akses pendidikan menengah yang wajar kepada anak-anak di kawasan berkenaan.
Beliau menyuarakan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut memohon agar beberapa Skim Pembesaran Kampung (SPK) lama dinaik taraf mengikut spesifikasi baharu merangkumi jalan berturap, parit konkrit, lot bertembok serta penyediaan bekalan air dan elektrik.
SPK yang terlibat termasuk SPK Jebungan Fasa Dua, SPK Tabo, SPK Tutus Hilir dan SPK Kuala Balingian.
Berhubung peningkatan jumlah kenderaan berat di jalan pesisir Balingian, Abdul Yakub mencadangkan agar pihak berkuasa menyediakan kawasan parkir khas lori serta mengenal pasti lokasi sesuai untuk transit bas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terus terjamin.-EDISI UKAS
Disediakan: Mia Amira
Jurugambar: Ameerul Syafiq Khir