Belanjawan Sarawak 2026: Perkukuh Kedudukan Kewangan & Ekonomi Rakyat
KUCHING: Belanjawan Sarawak 2026 dilihat sebagai sebuah bajet yang mencerminkan tahap pengurusan kewangan negeri dalam kedudukan yang terbaik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang berkata, fokus utama bajet adalah meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat terutamanya melalui pendidikan percuma.
“Pendidikan sentiasa menjadi beban kepada rakyat, terutamanya ibu bapa. Inisiatif ini akan banyak mengurangkan beban rakyat.
“Dengan itu, gaji bersih rakyat tidak perlu dibelanjakan untuk yuran sekolah anak-anak. Ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna harian mereka,” ujarnya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Rabu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, bajet kali ini lebih menumpukan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.
“Kesejahteraan rakyat bermaksud memastikan rakyat, terutamanya golongan kurang mampu di luar bandar, dapat sekurang-kurangnya sesuatu di atas meja mereka setiap hari.
“Penambahan bantuan seperti SKAS, contohnya, adalah salah satu inisiatif yang saya lihat akan memberi impak positif kepada penduduk di luar bandar,”katanya.
Justeru, rakyat Sarawak diseru menggunakan peluang ini dengan bijak, menyokong kerajaan dalam meneruskan pembangunan dan memberi fokus kepada kesejahteraan negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee & Mohd Amirul