Pelan Mitigasi Banjir Komprehensif Di Bintulu Dicadang Dirangka
KUCHING: Pelan mitigasi banjir yang komprehensif di Bintulu dicadang untuk dirangka bagi mengelak bencana besar yang berlaku awal tahun ini daripada berulang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, satu perancangan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang melibatkan Sungai Sebiew dan Kuala Batang Kemena perlu dilaksanakan segera.
Jelasnya, tindakan jangka pendek yang perlu dilaksanakan ialah menaik taraf sistem perparitan usang ke monsoon drain di Bintulu terutama di kawasan kampung dan perumahan berdasarkan peningkatan jumlah kampung dan taman perumahan.
"Seterusnya, melaksanakan penyelenggeraan sistem perparitan yang efektif dan berkualiti di kampung dan perumahan setiap tahun.
"Kemudian, melaksanakan penyelenggeraan sistem perparitan yang efektif dan berkualiti di kawasan luar bandar yang melibatkan kawasan rumah panjang dan kampung setiap tahun," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambahnya, penanda aras air banjir perlu diletakkan di kawasan jalan raya yang kerap dilanda banjir.
Pada masa sama ujar, pelan jangka pendek ialah mewujudkan siren banjir sebagai sistem amaran awal automatik yang menggunakan teknologi moden untuk memantau paras air sungai secara langsung dan membunyikan siren untuk memberi amaran kepada penduduk setempat tentang potensi banjir.
"Antara lain, pemasangan pam monsun mampu mengelakkan banjir besar dan mengawal paras air daripada menjejaskan kediaman penduduk. Ia berperanan menyedut air melimpah dan mengalirkannya ke longkang monsun," ujarnya lagi.
Sementara itu katanya, untuk tindakan jangka panjang, Sungai Sebiew dan Kuala Batang Kemena perlu diselenggarakan dengan melibatkan kerja penambahbaikan, pelebaran, pendalaman dan penyelenggaraan berkala untuk mengatasi masalah banjir ini.
"Kerja ini perlu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan Pertama.
"Ini adalah harapan warga Jepak agar permohonan di atas dapat dilaksanakan segera kerana kesan dari banjir tahun 2025 telah menyebabkan penduduk Bintulu trauma dan mengalami kerugian harta benda yang besar," jelasnya. -EDISI UKAS