6,178 Isi Rumah Tidak Tinggal Di PPS Bintulu Terima Bantuan Bencana RM1,000 Secara Berperingkat
KUCHING: Seramai 6,178 isi rumah yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Bintulu menerima bantuan bencana RM1,000 bermula minggu lalu secara berperingkat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, senarai isi rumah yang tidak tinggal di pusat pemindahan sementara kini sedang melalui proses pengesahan, namun dianggarkan pengagihan bantuan ini akan selesai menjelang akhir Disember tahun ini disebabkan proses pemberian bantuan yang ketat.
“Kelulusan ini mengambil masa disebabkan terdapat isi rumah yang menghantar permohonan lebih daripada seorang sebab itu mengambil masa yang agak lama tetapi kita mendapat aduan di sosial media yang menanyakan bantuan tersebut.
“Mereka perlu memahami sama ada mereka layak dan adakah mereka pemilik rumah tersebut kerana bantuan hanya disampaikan kepada pemilik sahaja,” jelasnya dalam sidang media mengenai kemajuan pelaksanaan bantuan bencana banjir RM1,000 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambahnya, dana bantuan tersebut juga akan terus disumbangkan kepada akaun penerima dan tidak melalui mana-mana Pusat Khidmat wakil rakyat di Bintulu.
Masalahnya kini jelasnya, terdapat individu yang berniat tidak baik sering menyerang isu bantuan ini secara dalam talian.
“Kami berharap mangsa yang telah menerima bantuan dapat tampil ke hadapan dan memberi pengesahan bahawa Kerajaan Sarawak benar-benar menyalurkan dana ini.
“Ini akan memberi keyakinan kepada mangsa lain dan menenangkan semua pihak untuk bersabar menunggu dengan tenang," katanya.
Untuk rekod, lebih 90 peratus mangsa yang tinggal di PPS telah menerima bantuan RM1,000 sejak Jun lepas. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Ibanez Jeffery