KUCHING: Pembangunan Belaga bakal dipacu lebih pantas apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberikan komitmen penuh untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek strategik di kawasan berkenaan melibatkan infrastruktur tenaga, perumahan serta kemudahan awam.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, antara projek utama yang menerima 'lampu hijau' ialah penarikan grid elektrik dari Belaga ke Nanga Merit sepanjang 135 kilometer yang dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan pedalaman.
"Mengenai projek perumahan Skim Perumahan Bantuan Kerajaan (SPBK) yang Premier juga bersetuju patut dilaksanakan di Belaga, kami akan bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei untuk mendapatkan butiran lanjut.
"Kami menerima sokongan yang sangat positif daripada Premier,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Rabu.
Kunjungan tersebut turut disertai lebih 20 ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) dari kawasan Belaga–Merit bagi menyampaikan cadangan pembangunan serta keperluan rakyat di kawasan masing-masing.
Datuk Liwan menambah, pihaknya turut memohon agar projek Dataran Belaga dengan peruntukan RM20 juta dipercepatkan, selain menjemput Premier untuk merasmikan Dataran Belaga dan Masjid Daerah Belaga pada tahun hadapan.
Dalam masa sama, katanya lagi, Premier turut bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan Stadium Belaga, sekali gus memperkukuh pembangunan sukan dan aktiviti belia di daerah tersebut.-EDISI UKAS