Projek Perumahan Mampu Milik Fasa Tambahan Di Sarikei Dimohon Untuk Diteliti
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi agensi berkaitan dimohon untuk meneliti pelaksanaan projek perumahan mampu milik fasa tambahan di Sarikei.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, keperluan projek perumahan mampu milik di Sarikei semakin mendesak, terutamanya bagi keluarga muda dan penjawat awam berpendapatan sederhana.
“Di Sarikei, permintaan terhadap kediaman yang berpatutan semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan penduduk dan kos sara hidup yang kian tinggi.
“Sehubungan itu, saya menyeru agar kerajaan meneliti secara serius pelaksanaan projek perumahan mampu milik fasa tambahan di Sarikei.
“Dengan adanya projek ini, ia bukan sahaja membantu rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri serta membentuk komuniti yang sejahtera dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Selain itu, Dato Sri Huang turut menekankan mengenai kapasiti bangunan Klinik Kesihatan Sarikei di Jalan Hospital Lama yang kini tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
Beliau berharap projek pembinaan Poliklinik Baharu di Lot 1120, Block 33, Sarikei Town Land District dapat dijadikan keutamaan bagi kesejahteraan masyarakat.
ADUN Repok itu juga menekankan mengenai isu akses kepada air terawat di Sarikei yang mana komuniti pedalaman yang masih ada belum menikmati kemudahan ini sepenuhnya seperti Sungai Mawang dan Sungai Kuap di Ulu Sungai Rusa, Sarikei melibatkan lapan rumah panjang serta sebuah gereja yang masih bergantung kepada sumber air semula jadi seperti sungai dan tadahan hujan.
Dato Sri Huang berharap projek bekalan air terawat ke kawasan pedalaman Sarikei dapat dipercepatkan pelaksanaannya agar penduduk dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sihat.-EDISI UKAS