Sarawak Fokus 17 Acara Sukan Di Kuching Bagi Sukan SEA 2027, Seluruh Negeri Terlibat Melalui Larian Obor
KUCHING: Sebanyak 17 acara sukan akan dipusatkan penganjurannya di Kuching sempena Sukan SEA 2027 mengambil kira kemampuan infrastruktur, ketersediaan kemudahan serta keupayaan logistik yang memenuhi standard antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pemilihan Kuching sebagai pusat penganjuran temasya berprestij itu dibuat oleh Sekretariat Malaysia SEA Games (MASOC) selepas penilaian menyeluruh terhadap kemudahan sedia ada.
"Keputusan ini mengambil kira rangkaian pengangkutan, kapasiti penginapan serta infrastruktur sukan yang lebih bersedia di Kuching.
"Kerja-kerja penambahbaikan akan turut dilaksanakan pada beberapa fasiliti utama bagi memastikan ia memenuhi sepenuhnya spesifikasi antarabangsa," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Beliau menegaskan walaupun acara sukan dipusatkan di Kuching, penyertaan bahagian-bahagian lain tetap diberi perhatian melalui pelaksanaan Larian Obor Sukan SEA 2027 di seluruh negeri bagi menghubungkan komuiti dan membawa semangat Sukan sea ke setiap kawasan di Sarawak termasuk Sarikei.
Dalam pada itu, Datuk Gerald menambah, penganjuran temasya tersebut turut menyokong pelaksanaan projek strategik negeri menjelang 2027 termasuk pembangunan Sistem Transit Aliran Automatik (ART) serta syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo.-EDISI UKAS