Jelajah Kesihatan Borneo Sarawak Fokus Perkukuh Fasiliti, Perkhidmatan di Mukah
MUKAH: Jelajah Kesihatan Borneo Sarawak (Siri 2) memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh fasiliti serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar, khususnya di Mukah.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib meneruskan siri lawatan tersebut dengan meninjau sendiri keadaan sebenar perkhidmatan kesihatan di lapangan, pada Isnin.
Lawatan dimulakan di Klinik Komuniti Mukah bagi melihat operasi harian serta tahap perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Rombongan kemudian menghadiri sesi taklimat di Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah yang membentangkan situasi semasa termasuk cabaran dan keperluan di kawasan berkenaan.
Seterusnya, lawatan diteruskan ke Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Mukah untuk menilai kemudahan serta perkhidmatan kepada ibu dan kanak-kanak, sebelum ke Klinik Pergigian Mukah bagi meninjau perkhidmatan kesihatan oral komuniti.
Unit Kecemasan Hospital Mukah menjadi lokasi terakhir lawatan, yang memainkan peranan penting dalam pengurusan kes-kes kritikal.
Sepanjang jelajah, tumpuan turut diberikan kepada isu kekurangan tenaga kerja serta keperluan sokongan operasi, termasuk peranan pemandu kenderaan hospital dalam memastikan kelancaran pergerakan pesakit dan urusan kecemasan.
Selain itu, keperluan memperkukuh perkhidmatan sokongan klinikal turut disentuh bagi memastikan rawatan yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat diberikan kepada rakyat.
Secara keseluruhan, lawatan ini menunjukkan masih terdapat ruang penambahbaikan dari segi tenaga kerja, fasiliti dan sokongan logistik bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan di Mukah.
Dalam pada itu, Dato Hanifah menegaskan semua pihak perlu bertindak segera dan lebih proaktif dalam menangani setiap isu yang dikenalpasti demi memastikan perkhidmatan kesihatan terus berada di tahap yang baik.
Hadir sama semasa jelajah ialah Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan KKM Datin Paduka Roslinah Md Jani, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam) Dr Mohammad Nazarudin Bahari, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr. Mohammad Najib Hasan @ Ahmad, Pegawai Tadbir Residen Bahagian Mukah Mohd Amirul Valentine Laiseh serta Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip.-EDISI UKAS