41 Jemaah Haji Bahagian Limbang Berangkat Ke Tanah Suci Tahun Ini
LIMBANG: Seramai 41 jemaah haji dari Bahagian Limbang merangkumi daerah Limbang dan Lawas berangkat ke Tanah Suci tahun ini, dengan 31 daripadanya di bawah pengurusan Lembaga Tabung Haji manakala selebihnya melalui agensi pelancongan swasta.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menasihatkan semua jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci memandangkan keadaan cuaca yang panas dan kering ketika ini di sana.
“Jagalah kesihatan anda di sana, cuacanya sama seperti di Malaysia, panas. Namun di sana kering, manakala di sini lembap. Kurang minum air mungkin masih okay di sini, tetapi di sana perlu minum air dengan banyak.
"Perkara ini juga telah dinasihatkan sebelum ini dan para jemaah perlulah membuat perancangan dengan baik”, katanya semasa berucap pada Majlis Keberangkatan Jemaah Haji Bahagian Limbang Musim 1447H/2026M di Lapangan Terbang Limbang, pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu turut menekankan pentingannya membuat perancangan rapi sepanjang menunaikan ibadah haji agar kesihatan sentiasa terjaga dan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Dalam pada itu, beliau berharap agar semua jemaah dapat mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi selain memberi fokus sepenuhnya kepada ibadah memandangkan peluang menunaikan haji adalah pengalaman sekali seumur hidup.
“Harapan saya, ikutlah segala peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Tumpukan kepada amal ibadah sebab ianya sekali seumur hidup. Selamat berangkat dan selamat kembali,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada para jemaah sebagai tanda keprihatinan beliau sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Hadir sama isteri ADUN N.79 Bukit Kota, Datin Dayang Maimunah Awang Muhammad Daud, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat, Pengurus Tabung Haji Limbang, Musapir Abdullah dan Pemanca Sahat Bagol. - EDISI UKAS