Majlis Al-Wida’ PIH-MIS Perkukuh Persediaan Pembimbing Haji Sarawak
KUCHING: Komitmen memastikan kelancaran ibadah jemaah haji Sarawak terus diperkukuh menerusi penganjuran Majlis Al-Wida’ Pembimbing Ibadah Haji Majlis Islam Sarawak (PIH-MIS) bagi musim haji 1447H/2026M yang berlangsung di Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di sini, pada Isnin.
Program tahunan anjuran Majlis Islam Sarawak itu bertujuan menghargai serta memberi sokongan kepada pembimbing ibadah haji yang bakal memikul amanah besar dalam membimbing jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha bersama Setiausaha MIS, Sahibus Siyadah Mual Suaud telah menyempurnakan majlis berkenaan, disaksikan ketua-ketua agensi serta pegawai kanan.
Sebagai simbol kesiapsiagaan, majlis turut menyaksikan penyampaian baju seragam rasmi kepada para pembimbing yang dilantik.
Bagi musim haji kali ini, tiga pembimbing ibadah haji telah dipilih iaitu Ustaz Khairul Azha Johni, Ustazah Aainaa Shahira Rasidi dan Ustazah Shamsiyah Laili.
Ustazah Aainaa Shahira ketika ditemu bual menekankan kepentingan ilmu sebagai persediaan utama jemaah haji.
“Sudah semestinya yang pertama ialah ilmu. Jika kita telah menghadiri semua kursus yang dianjurkan oleh Tabung Haji, insya-Allah kita akan lebih bersedia.
“Kita juga perlu sentiasa mengulang kaji terutama berkaitan rukun dan wajib haji supaya tidak timbul masalah ketika berada di Tanah Suci,” katanya.
Sementara itu, Ustaz Khairul Azha menjelaskan peranan pembimbing bukan sahaja dari sudut ibadah, malah turut merangkumi aspek komunikasi dan kebajikan jemaah.
“Peranan kami adalah menyantuni jemaah khususnya dari aspek bahasa kerana terdapat jemaah Sarawak yang kurang memahami petugas dari Semenanjung.
“Kami juga menjadi penghubung antara jemaah dan petugas Tabung Haji bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ustazah Shamsiyah berkata aspek keselamatan dan pematuhan arahan menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan ibadah haji.
“Kami memastikan jemaah sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan oleh Tabung Haji serta menjaga keselamatan mereka sebelum, semasa dan selepas menunaikan ibadah,” ujarnya.
Mengikut jadual, Ustazah Aainaa Shahira dan Ustazah Shamsiyah dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 28 April, manakala Ustaz Khairul Azha pada 30 April ini.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan sebagai tanda penghargaan kepada semua yang terlibat.
Penganjuran majlis ini mencerminkan kesungguhan MIS dalam memastikan kebajikan serta persediaan pembimbing ibadah haji sentiasa diberi perhatian, sekali gus menjamin kelancaran pengurusan jemaah haji Sarawak secara menyeluruh.-EDISI UKAS