Sarawak Catat Kejayaan Baharu, Prototaip KIWMP Mambong Jana Tenaga
KUCHING: Sarawak melakar satu lagi kejayaan penting dalam agenda kelestarian apabila ‘Sarawak Waste Management Sdn Bhd’ berjaya menjana tenaga elektrik daripada sisa pepejal menerusi pembangunan prototaip loji ‘waste-to-energy’ yang mampu menjana sehingga 5 kilowatt (kW) kuasa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kejayaan tersebut membuktikan potensi besar sisa sebagai sumber ekonomi baharu selaras dengan pendekatan ekonomi kitaran yang kini giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Menurut beliau, Sarawak kini berdepan penghasilan kira-kira 700 tan sisa pepejal setiap hari, dan jumlah itu dijangka terus meningkat seiring pertumbuhan populasi serta corak penggunaan masyarakat.
“Prototaip yang saya sebutkan tadi, yang saya lihat sebentar tadi, sangat baik kerana dapat mengekstrak gas daripada sisa buangan, kemudian menukarkannya kepada hidrogen dan melalui hidrogen tersebut, tenaga elektrik dapat dihasilkan.
“Kini, ia bergantung kepada tindak balas gas itu sendiri di mana kini loji mampu menjana kira-kira 5 kW tenaga daripada 700 tan sisa, bekalan tenaga boleh ditingkatkan. Pada masa yang sama, udara turut dibersihkan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sesi Lawatan Rasmi dan Taklimat mengenai Prototaip Kogenerasi Gas kepada Tenaga, di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP) Mambong, di sini, pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari dalam pada itu turut menegaskan bahawa Sarawak mengambil inspirasi daripada negara Scandinavia seperti Finland yang terbukti berjaya mengurus sisa secara efisien sehingga mampu menjana pulangan ekonomi kepada kerajaan.
Dengan pertambahan pelaburan dan aktiviti industri di negeri ini, beliau berkata penggunaan teknologi terkini dalam rawatan sisa amat penting bagi memastikan setiap bentuk sisa dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Sudah tentu mereka juga menghasilkan sisa, sama ada sisa berjadual atau bentuk sisa lain, yang memerlukan kita mengaplikasikan teknologi terkini bagi merawat sisa tersebut serta menukarkannya kepada sesuatu yang bermanfaat.
“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah kepada Sarawak secara keseluruhan dan seterusnya, kita dapat menjadi sebuah wilayah yang benar-benar bersih dan mesra alam di Malaysia,” jelas beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Sarawak Waste Management Sdn Bhd Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Waste Management Sdn Bhd Stephen Chin serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ibanez Jeffery Guang & George S. Embie